HB

DUET KAWEN OH !

Monday, September 3, 2012

Refleksi 3 - Nur Syuhada Bte Ghazali

Sebagai seorang yang bakal menjadi warga pendidik suatu hari kelak , saya berasa amat berminat mengenai tugasan projek yang diberikan kepada saya di bawah subjek Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Semasa pada semester 8 tahun ini.

Pada peringkat permulaanya saya berasa agak keliru mengenai tajuk yang ditugaskan kepada saya bagi semester ini. Namun begitu saya amat bertuah kerana melalui tunjuk ajar daripada pensyarah pembimbing iaitu Encik Ranjit, saya dapat memahami sedikit demi sedikit mengenai perkara yang harus dilaksanakan bagi menyempurnakan kerja projek ini.

Saya memulakan modus operandi dengan mempelbagaikan tindakan dalam menyempurnakan penulisan artikel yang berkaitan dengan isu keguruan ini selaras dengan kehendak soalan tugasan yang diberi. Di awal permulaan tindakan saya, perpustakaan merupakan salah satu destinasi yang saya kunjungi dalam usaha mencari maklumat. Selain itu juga saya turut menggunakan media elektronik dalam mencari bahan – bahan input bagi menghasilkan output yang berbentuk penghasilan blog bagi memaparkan penulisan artikel bagi tugasan ini secara maya di media paparan elektronik. Kepelbagaian bahan bacaan, di samping perbincangan bersama rakan – rakan di dalam kumpulan sedikit sebanyak membantu saya dalam mencari idea – idea bagi mengupas dan menganalisis isu yang telah dipilih iaitu berkaitan isu ponteng di kalangan guru.

Penulisan artikel ilmiah ini serta penghasilan blog secara berkumpulan juga telah membuka kesedaran saya mengenai bagaimana etika dan pengamalan profesionalisme bagi seseorang guru itu penting memastikan profesion ini terus dipandang tinggi oleh masyarakat. Seorang guru bukan sahaja dilihat daripada aspek kerjaya dalam mendidik semata – mata malahan ianya juga turut merangkumi aspek kesahsiah serta penampilan guru tersebut.

Melalui pengalaman saya dalam mengupas isu ponteng di dalam kalangan guru ini, saya dapat merumuskan bahawa sebagai seorang yang bakal menjadi salah seorang pendidik kelak, saya berpendapat bahawa pengamalan etika serta amalan profesionalisme ini haruslah dipupuk semenjak awal permulaan karier sebagai guru. Hal ini kerana jira permulaan karier telah dipupuk dengan permulaan sikap kerja yang positif, insyaAllah pengamalan profesionalisme ini akan dapat diteruskan pengamalannya sehingga ke akhir perkhidmatan kelak.

Penutup kata, saya ingin memanjatkan ucapan syukur Alhamdulilah kerana melalui pengalaman belajar, melaksanakan serta merasai sendiri penghasilan artikel pada subjek di semester akhir ini banyak memberi input serta persediaan kepada saya dalam memulakan langkah sebagai guru novis di sekolah yang akan ditempatkan tidak lama lagi, InsyaAllah.

(NUR SYUHADA BTE GHAZALI)