☛ Untuk
mempercepatkan proses kelahiran, kontraksi yang kuat adalah perlu dan
antara cara mudah untuk menguatkan kontraksi adalah dengan melakukan
banyak pergerakan. Misalnya, sekiranya kita baring, cuba untuk bangun dengan kerap tetapi perlahan-lahan.
☛ Selain itu, cuba untuk membuang air kencing dengan kerap. Ini kerana
pundi kencing yang penuh boleh melambatkan proses kelahiran dimana ia
menghalang penurunan kepala.
☛ Cuba alih perhatian anda terhadap
rasa sakit yang dialami. Antara caranya ialah dengan mandi menggunakan
air suam atau masuk ke dalam kolam bersalin. Hal ini sekaligus akan
mengurangkan keinginan anda untuk mengambil ubat bagi mempercepatkan
proses kelahiran.
☛ Sekiranya anda terlalu cemas dengan proses
kelahiran terutamanya semasa kontraksi semakin kuat, cuba aplikasikan
teknik-teknik pernafasan yang dipelajari di kelas antenatal.
☛ Dalam hal ini juga, anda boleh meminta pertolongan suami atau keluarga
anda untuk mengurut bahagian belakang anda secara lembut tetapi tegas
dalam mengurangkan rasa sakit yang dialami.
☛ Sekiranya anda
tidak mahu berjalan-jalan, tukar posisi di atas katil. Anda boleh
melakukan pergerakan seperti duduk kemudian berdiri, atau berjalan-jalan
secara perlahan-lahan agar bukaan rahim lebih cepat terbuka, sekaligus
mempercepatkan proses bersalin.
☛ Hayunkan punggung dan
membongkok ke depan semasa kontraksi berlaku dapat membantu rahim
menolak bayi agar masuk ke saluran peranakan dengan betul.
Tips Cepatkan Bukaan Serviks
15 KESILAPAN IBUBAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK
Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari
ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Orang yang malang ialah
orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa
kebaikan kepadanya di akhirat.
Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : "Tahukah engkau siapakah orang yang mandul?" Berkata para sahabat : "Orang
yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW
berkata : "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak
tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia
meninggal dunia." - (Maksud Al-Hadith )
1. Kesilapan pertama : Kurang berdoa.
➦ Kurang berdoa semasa mengandung.
Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah Saidul
(penghulu) Istighfar. Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 :
8-9), Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 38),
Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41).
➦ Kurang berdoa semasa membesarkan anak.
Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah Doa agar
anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128), Doa
diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74),
Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.
2. Kesilapan
kedua : Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib
(didikan atau motivasi) seperti menakutkan anak-anak dengan sekolah,
menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan hutan rimba atau bukit
bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.
3. Kesilapan ketiga : Tidak tegas dalam mendidik anak-anak, tidak
menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak
kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.
4. Kesilapan keempat : Menegur anak secara negatif seperti mengeluarkan
kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah).
Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.
5. Kesilapan kelima : Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani
(physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual). Ramai yang
lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani.
6.
Kesilapan keenam : Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak
sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium
mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW
mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin
Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya
Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah
mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra'
kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan
dikasihi."- (Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
7.
Kesilapan ketujuh : Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas.
Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati
kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh
atau berpakaian seksi dihadapan anak-anaknya.
8. Kesilapan
kelapan : Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan
anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan
selekeh.
9. Kesilapan kesembilan : Kurang menghidupkan sunnah
di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama
dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan
yang lebih baik dari salam yang diberi.
10. Kesilapan
kesepuluh : Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh
anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu
sunnah.
11. Kesilapan kesebelas : Kurang mendedahkan anak-anak
dengan model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang
berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan
dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang
bersesuaian dengan akhlak Islam.
12. Kesilapan kedua belas :
Bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa
tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.
13.
Kesilapan ketiga belas : Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya
masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun
sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik
kepada anak-anak yang masih membesar.
14. Kesilapan
keempat belas : Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada
dari TV ataupun video. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana
kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik
seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak
menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.
15. Kesilapan kelima belas : Terlalu bergantung kepada pembantu rumah
untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di
akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu
kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan
didikan Islam.